Anda mungkin telah bermula dengan memiliki akaun Facebook peribadi anda. Seterusnya, mengikut jejak langkah dan saranan banyak pihak, anda buka pula laman Facebook khas untuk perniagaan anda. Anda mula meninjau apa yang dilakukan oleh usahawan-usahawan lain pada laman Facebook mereka. Apabila mereka bergiat aktif menerusi Twitter pula, anda mula menyusul ke Twitter. Anda merasakan jika anda tidak berjinak-jinak dengan media sosial, survival perniagaan anda mungkin akan terjejas ... anda mungkin akan ditinggalkan pesaing anda!
Sistem menarik yang ditawarkan kebanyakan media sosial seperti Facebook & Twitter seperti Share, Retweet, Tag, Like, Invite, Mention dan sebagainya sememangnya satu peluang keemasan untuk usahawan meluaskan lagi pemasaran dan meningkatan penjenamaan. Namun begitu, wujud kecenderungan di kalangan usahawan untuk menggunakan kecanggihan ini ke arah pemasaran secara spamming, suatu pendekatan 'lama' yang boleh diibaratkan sebagai menyemakkan media sosial ekoran kegagalan memahami konsep media sosial itu sendiri.
Media Baru + Mentaliti Lama = Tidak Ke Mana
Berniaga menerusi laman sosial, jika tidak disertakan dengan kefahaman yang cukup tentang konsep sosial media, akan mewujudkan persekitaran tidak menyenangkan bagi prospek para usahawan. Perlu diingat, memahirkan diri dengan teknik menggunakan features yang ada tidak cukup untuk menjamin kejayaan membuat pemasaran menerusi media sosial. Barangkali, kita sekadar spammer yang menjelikkan prospek pelanggan kita.
Dengan begitu banyaknya saingan usahawan di dalam sosial media, pelanggan pasti akan menyesarkan sebarang jemputan dari usahawan yang dilihat keterlaluan atau 'memaksa' untuk memastikan pengalaman media sosial mereka lebih menyenangkan. Apakah perasaan anda ditag oleh entiti yang sama bertubi-tubi, mendapat mesej di inbox dari entiti yang sama juga bertubi-tubi, dan dijemput bersahabat dengan begitu banyak peniaga yang tidak anda kenali hanya untuk kemudiannya dispam ibarat bersahabat dengan mesin? Terus-terang, tidak setiap kali perkara ini menyenangkan saya, meskipun saya sendiri berniaga. Bagaimana pula dengan pengguna lain yang langsung tidak terlibat dengan perniagaan dan kurang memahami para usahawan?
Like/Follow = Ukuran Populariti?
Bilangan LIKE pada sesuatu laman Facebook masih sedikit-sebanyak menjadi ukuran kepada populariti perniagaan anda di Facebook, meskipun laman anda mungkin diLIKE atas pelbagai sebab selain menyukai/menyokong perniagaan anda. Usahawan seharusnya tidak leka dibuai keseronokan menerima bilangan LIKE sepertimana Follow untuk blog, di mana ada pula pihak tertentu yang mengajar blogger untuk Follow blog lain untuk tujuan promosi blog sendiri - anda tidak lagi dapat membezakan siapa yang berminat mengikuti post blog anda atau tidak. Yang penting ialah LIKE = PEMASARAN SECARA VIRAL dan kesempatan ini harus digunakan oleh usahawan untuk convert 'Pengikut Tanpa Niat' (PTN) anda kepada pengikut setia anda.
Sama seperti sistem Twitter, jika mereka yang follow anda berasa Tweet anda wajar diikuti, mereka akan membiarkan anda di dalam senarai 'Following' dan anda akan berpeluang mendekati mereka sedikit demi sedikit. Bagaimana untuk convert PTN kepada pelanggan anda, atau setidak-tidaknya 'kakitangan pemasaran' anda? Ada caranya ... cara media baru ... dan ia tidak berlaku dalam sehari dua ... ia memerlukan kesabaran dan teknik yang pastinya meletakkan spamming jauh, jauh ke tepi ...
Jawapan = Bina Hubungan!
Media sosial ialah mengenai proses membina hubungan. Inilah membezakan kaedah pemasaran era lama internet dengan era masa kini. Rangkaian pengguna internet hanya akan semakin membesar dan segala spamming anda akan hanya datang dan pergi dikacamata prospek anda. Anda mungkin merasakan semakin kerap anda sogokkan URL kepada mereka, mereka akan akhirnya klik, tetapi hakikatnya mereka sentiasa ada pilihan untuk sesarkan anda daripada pandangan mereka dengan Remove, Unlike atau Unfollow anda. Apa yang perlu anda lakukan untuk kehadiran anda memberi impak?
Berikut saya kongsi beberapa tip hasil kajian dan pengalaman saya sendiri:
1) Berinteraksi secara 2 hala. Jika anda di Twitter, anda kelihatan agak menjengkelkan jika anda (1) tidak menunjukkan minat untuk Follow orang lain tetapi mengharapkan pihak lain Follow anda, dan (2) menggunakan Twitter anda sebagai sistem berita & tidak sesekali peduli untuk retweet atau reply tweet orang lain.
2) Selang-selikan post 'hard-sell' dengan post-post mengandungi maklumat berguna yang boleh dikaitkan dengan perniagaan anda ('soft-sell').
3) Pastikan ayat yang digunakan untuk mempromosi URL anda cenderung ke arah 'apa kelebihan yang pembeli boleh terima' dan bukannya 'siapa anda dan apa yang anda buat'.
4) Beri sokongan kepada teman usahawan lain dengan memberi komen membina, Like, Retweet, dsb. Ia tidak sukar malah boleh membina persahabatan baru sesama usahawan. Usahawan tidak rugi apa-apa dengan menyokong usahawan lain. Usahawan hanya rugi apabila cuba mensabotaj sesama sendiri.
5) Hubungi atau bertanya khabar kepada pelanggan-pelanggan yang pernah berurusniaga dengan anda secara berkala. Jangan hanya masyuk ingin mencari prospek baru sehingga lupa bahawa anda sebenarnya lebih mudah mendapat jualan daripada pelanggan-pelanggan lama anda.
6) Elakkan kata-kata kurang sopan, berunsur provokasi atau memburukkan perniagaan usahawan lain. Ia hanya akan mendedahkan pekung di dada dan membantutkan usaha anda membina hubungan.
7) Post ulangan tidak menjadi masalah selagi ia tidak dilakukan secara kerap. Post terlalu kerap dan anda boleh dikira sebagai spamming.
8) Elakkan Tag 'sahabat anda' sejurus anda berjaya menjadi sahabatnya. Cuba bina hubungan dahulu dengan ucapan terima kasih atas penerimaan jemputan sahabat, dsb.
9) Elakkan spamming menerusi sistem mesej peribadi di Facebook dan Twitter walaupun ia kelihatan peribadi kerana anda bukanlah satu-satunya 'sahabat' prospek anda. Kerapkali mesej sebegini akan bertimbun di inbox mereka dan menjadi punca mudah untuk anda disesarkan daripada jaringan hubungan prospek anda.
Harap tips di atas (walaupun anda mungkin sudah mengetahuinya) berguna kepada semua usahawan termasuk saya sendiri, sekurang-kurangnya sebagai renungan untuk kita kaji semula jika kita benar-benar telah naiktaraf mentaliti dan pendekatan kita searas dengan perkembangan media sosial itu sendiri. Kita bawa mentaliti baru bersama media baru untuk peluang perniagaan yang lebih baik!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sometimes people just too shy to post a comment :)
ReplyDeleteTeguran yang membina, sy terlepas pandang.... Jazak Allah
ReplyDelete